UTHM PROMOSI Bersama Kepala Sekolah dan SMA di Kepri

TANJUNGPINANG– Tiga staf akademik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya melaksanakan program promosi yang bertujuan meningkatkan keterlihatan universiti dalam kalangan masyarakat di Batam dan Kepulauan Riau.
Program ini berlangsung selama lima hari, dari 6 hingga 10 November 2025, diketuai oleh Dr. Abdul Hamid dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), bersama Dr. Siti Marpuah dari Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), serta Encik Mohd Hazrul Fadli bin Mohd Yusoff dari Bahagian Antarabangsa (IO).
Antara objektif utama program ini ialah menarik minat pelajar sekolah menengah di Batam dan Kepulauan Riau untuk melanjutkan pengajian di UTHM.
Sebagai langkah awal, UTHM telah menyertai Expo dan Roadshow yang diadakan di Nagoya Hill Mall, Batam, dari 31 Oktober hingga 9 November 2025.
Pameran ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar, pihak sekolah, serta wakil universiti dan institusi pendidikan lain.
Turut hadir pada acara tersebut ialah Datuk Hardi Slamet Hood, Ketua Alumni Chapter Batam-Kepri, bersama beberapa ahli alumni dan pelajar aktif UTHM yang berkongsi pengalaman serta memberi motivasi kepada pengunjung.
Seramai 25 alumni pascasiswazah UTHM yang berjaya dalam kerjaya masing-masing turut terlibat, selain beberapa mahasiswa aktif program ijazah pertama dan pascasiswazah yang hadir memberi sokongan. Pada 9 November (Ahad), warga UTHM dari KSUTHM turut memeriahkan program ini dengan menyertai roadshow, melibatkan kehadiran 26 orang staf yang tiba di Batam bagi menyertai acara tersebut.
Selain itu, pegawai promosi UTHM juga melawat beberapa institusi pendidikan utama di wilayah berkenaan, antaranya Universitas Nagoya Indonesia, SMA Kartini, SMA Mondrial, SMA Juwita, SMA Yos Sudarso, IIBN Batam, dan Private English Course. Lawatan ini bertujuan memperkenalkan UTHM kepada pelajar serta membina jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan di sana.
Pada hari terakhir program, rombongan UTHM berkunjung ke Tanjung Pinang untuk bertemu Ketua Dinas Pendidikan Kepulauan Riau dan mengadakan sesi bersama para pengetua SMA/SMK di kawasan tersebut. Program diakhiri dengan lawatan rasmi ke STAIN AR Kepri, di mana delegasi UTHM disambut mesra oleh Rektor, PM Dr. Hj. M. Faisal.
Melalui pelaksanaan program ini, UTHM berharap dapat memperkukuh keterlihatan dan reputasinya di Kepulauan Riau serta menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di UTHM, Johor, Malaysia. (*)


